Kejohanan Futsal Bawah 12 Tahun (L & P) DUN N.9 Tamparuli

Bertempat di Tamparuli Futsal Center pagi tadi, pihak sekolah telah menghantar dua wakil pasukan sekolah ke pertandingan tersebut. Sungguhpun pasukan yang baru ditubuhkan ini masuk bertanding namun dengan semangat kuat dan keazaman mereka tidak balik dengan tangan kosong. Pasukan Futsal perempuan berjaya merangkul tempat ketiga manakala pasukan lelaki sekadar mendapat saguhati penyertaan. Tahniah diucapkan dan teruskan perjuangan untuk menjadi nombor satu dimasa yang akan datang. Syabas juga kepada pihak penganjur kerana menyediakan ruang untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam pertandingan ini.

(Kredit Gambar Puan Sawasah / PK Kokum)

Selamat Bercuti

Warga SK Sungai Damit, Tuaran mengucapkan selamat bercuti kepada semua. Cuti sekolah penghujung tahun ini bermula 20hb November dan akan memulakan sessi persekolahan yang baru pada 3hb Januari 2011.

Program “Campfire” 2010

Seteleh beberapa tahun menyepi akhirnya tahun ini ianya muncul kembali. Program “Campfire” atau perkhemahan malam ini merupakan aktiviti penghujung tahunan sekolah yang diadakan sebagai meraikan majlis perpisahan murid-murid tahun 6 dan memupuk semangat berdikari dikalangan peserta. Acara yang bermula pada sebelah petang dan berlanjutan sehingga larut malam ini diserikan lagi dengan unggunan api besar ditengah-tengah tapak perhimpunan sekolah. Pada keesokkan harinya, aktiviti dimulakan dengan solat subuh dan senaman aerobik yang dikendalikan oleh jemputan khas dari SK Pekan Tamparuli. Acara ini tamat dengan majlis penyampaian hadiah dan bertukar-tukar cenderahati.

Selamat Hari Raya Aidiladha

Warga Sekolah Kebangsaan Sungai Damit mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada kesemua murid-murid dan Ibubapa khasnya kepada yang beragama Islam dimana jua anda berada.

Gotong Royong Menanam Sejuta Pokok Peringkat Sekolah

Gotong royong sempena kempen menanam sejuta pokok anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sabah peringkat sekolah telah diadakan hari ini. Sambutan dan kerjasama dari pihak ibubapa dan murid-murid amat menggalakkan.  Ibubapa hadir dengan membawa benih tanaman masing-masing dan bersama-sama menanamnya disekitar kawasan sekolah. Warga Sekolah merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran dan kerjasama daripada Ibubapa yang hadir untuk menjayakan kempen ini.

Warga Sekolah dan Para Ibubapa dan murid-murid yang hadir.

 

(Kredit Gambar Puan Sawasah / PK Kokum)

Rumah Biru Juara Lagi.

Kejohanan MSSM Olahraga peringkat SK Sungai Damit edisi ke-11 tahun 2010 telah melabuhkan tirainya hari ini. Warga Sekolah bersyukur kerana cuaca pagi yang cerah dapat memungkinkan kesemua acara yang dipertandingkan berjalan dengan baik dan lancar. Sebanyak 6 acara akhir telah dipertandingkan pada hari ini dan sokongan dari para ibubapa yang hadir memeriahkan lagi acara. Sepanjang 3 hari temasya sukan ini dijalankan, Rumah Sukan Biru telah berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu dengan pungutan 53 mata. Rumah Hijau merangkul tempat kedua dan tempat ketiga jatuh kepada Rumah Merah. Rumah Kuning pula melengkapkan tempat 4 rumah sukan yang bertanding. Gelaran Olahragawan pada tahun ini jatuh kepada Adik Farhan dari Rumah Hijau dan olahragawati pula milik Adik Chrybth dari Rumah Sukan Biru.  Acara perbarisan pula dimenangi oleh Rumah Sukan Hijau. Encik Redzuan selaku Pengerusi PIBG yang baru telah merasmikan penutupan kejohanan sukan olahraga pada kali ini dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Warga Sekolah merakamkan sekalung tahniah buat para pemenang dan terima kasih buat semua yang hadir.

Pengumuman Keputusan UPSR 2010

Pada tahun ini, SK Sungai Damit telah berjaya meningkatkan peratus keputusan peperiksaan UPSR dengan peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding keputusan peperiksaan tahun lalu. Para Ibubapa yang telah berada di sekolah sekitar jam 8 pagi lagi setia menunggu kedatangan Guru Besar yang pergi untuk mendapatkan keputusan tersebut daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran. Syabas dan tahniah buat yang berjaya.

Guru Besar mengumumkan keputusan.

Ada yang gembira, ada yang sedih. Giatkan usaha lagi.